IPOH: Kerajaan negeri Perak akan menyalurkan peruntukan khas RM20,000 kepada semua 59 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu untuk membantu rakyat yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, peruntukan berjumlah RM1.18 juta itu diagihkan sama rata tanpa mengira parti dan dijangka akan disalurkan mulai esok.

Menurutnya kerajaan negeri sangat prihatin dan memahami masalah yang dihadapi rakyat selepas PKP dilaksanakan 18 Mac lalu.

“Peruntukan sedang diproses oleh Bahagian Kewangan dan dijangka semua ADUN akan menerimanya esok,” katanya dalam wawacara khas di PerakFm di sini, hari ini.

Minggu lalu, Ahmad Faizal mengumumkan kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM7 juta sebagai bantuan untuk mengurangkan beban golongan sasaran yang terkesan ekoran COVID-19.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM2 juta akan disalurkan kepada 4,000 penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Ahmad Faizal berkata, bantuan one-off sebanyak RM500 itu akan disalurkan melalui pihak berkuasa tempatan dalam masa terdekat.

Di samping itu, katanya, kerajaan negeri juga akan menanggung separuh daripada kos sewaan gerai makanan dan medan selera di bawah semua PBT di Perak, selama dua bulan, yang melibatkan kos hampir RM800,000.