IPOH: Kerajaan negeri memandang serius isu penutupan beberapa hotel di Perak susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, selain merancang untuk bekerjasama dengan pihak industri pelancongan terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata penutupan hotel itu bukan sahaja memberi impak kepada sektor ekonomi, tetapi turut memberi kesan kepada kadar pengangguran di negeri ini.

“Dari segi pandangan kerajaan negeri, saya sangat berharap operator perniagaan atau pemilik perniagaan tidak akan mengambil tindakan tersebut (penutupan).

“Tetapi malangnya ianya juga dari segi ekonomi, permintaan dan penawaran. Bila mereka mengambil langkah tersebut, kita tidak boleh nak halang dari segi undang-undang untuk mereka tutup operasi.

“Kita sedang merancang bagaimana kita boleh bekerjasama dengan pihak industri pelancongan untuk mitigasi kan keadaan yang akan berlaku selepas PKP,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pertukaran memorandum persefahaman S.M.A.R.T Iftar@Perak antara kerajaan negeri dengan Foodpanda, Grabfood dan Yezza.

Ujarnya lagi, antara hotel yang telah mengumumkan penutupan di Perak baru-baru ini termasuk Kinta Riverfront Hotel and Suites dan Hotel Tower Regency, Ipoh.

Nolee berkata pihaknya turut berusaha untuk memberi alternatif lain kepada para pekerja yang diberhentikan.

“Kalau kita ambil purata untuk setiap hotel mungkin akan beri kesan kepada kira-kira 200 orang pekerja untuk satu hotel.

“Antara alternatif yang boleh dicadangkan seperti peluang pekerjaan baru atau peningkatan kemahiran diri mereka sendiri,”katanya.

Sebelum ini media melaporkan Hotel Tower Regency akan berhenti beroperasi pada akhir April ini.

Dalam memo dalaman bertarikh 31 Mac yang tersebar di aplikasi WhatsApp menyebut hotel yang beroperasi sejak Januari 2009 itu mengalami kerugian jutaan ringgit sejak tiga tahun lalu ketika cuba memastikan operasi berjalan seperti biasa.

Dikatakan pandemik Covid-19 turut menjejaskan industri perhotelan dan juga setiap peluang untuk memulihkan operasi hotel itu pada masa depan.

Baru-baru ini juga, media melaporkan Kinta Riverfront Hotel and Suites akan tutup pada hujung bulan ini.

Dalam satu pekeliling dalaman bertarikh 22 April kepada kakitangan, pihak pengurusan memberitahu hotel itu ditutup pada 30 April ini, selepas lapan tahun beroperasi.

Jurucakap syarikat Tan Kim Hee berkata hotel itu tidak lagi mampu menampung kerugian sejak berbulan-bulan.