IPOH: Kerajaan negeri Perak akan memperkenalkan beberapa inisiatif untuk mengurangkan beban golongan sasar yang terkesan ekoran COVID-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, antara inisiatif itu ialah bantuan one-off kepada penjaja dan peniaga kecil melalui Pihak Berkuasa Tempatan.
Menurutnya, kerajaan negeri juga akan menanggung bayaran selama tiga bulan bermula Mac hingga Mei 2020 bagi bayaran balik Tabung Usahawan dan Mikrokredit Yayasan Perak, Rumah Harapan, Pinjaman Pendidikan Negeri Perak, bayaran sewa beli Rancangan Perumahan Awam dan bayaran sewa skim pertapakan kemudahan asas.

Selain daripada itu, katanya, kerajaan negeri juga memutuskan untuk menangguhkan Bayaran Sewa Bulanan Program Perumahan Rakyat Negeri Perak, juga selama tiga bulan.
“Dalam masa yang sama, Kerajaan negeri juga akan mempercepatkan pembayaran gaji kakitangan tetap dan kontrak serta pekerja sambilan harian kepada 19 Mac 2020,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sebelum itu, beliau mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Menangani Isu COVID-19 di Bilik Mesyuarat Pejabat Menteri Besar Perak.

Ahmad Faizal berkata, semua inisiatif itu adalah sebagai respon awal pentadbiran kerajaan negeri terhadap kesan Perintah Kawalan Pergerakan kepada golongan yang memerlukan.

Menurutnya, disebabkan pelaksanaan kawalan pergerakan itu adalah di luar jangkaan semua pihak, kerajaan negeri akan terus mengkaji inisiatif tambahan dari semasa ke semasa, bersesuaian dengan kemampuan kewangan kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pihak agar mengelakkan penyebaran maklumat yang tidak sahih yang boleh menjejaskan ketenteraman awam, termasuk insiden pembelian panik.

Katanya, tindakan itu akan memberi kesan yang amat negatif kerana ada sebahagian masyarakat akan membeli stok makanan jauh melebihi keperluan biasa.

“Ini akan menyebabkan berlakunya ‘artificial shortage’ atau kekurangan bekalan makanan yang tidak sepatutnya berlaku.

“Sebagai contoh, bagi satu isi rumah yang hanya memerlukan sepaket beras 10 kilogram, tiada keperluan untuk membeli lima paket beras sekaligus.

“Perbuatan begini hanya akan menyebabkan pengguna-pengguna yang lain gagal mendapat bekalan, seterusnya mencetuskan suasana panik di kalangan masyarakat,” ujarnya.

Ahmad Faizal berkata, keadaan itu akan membuka ruang kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil kesempatan menaikkan harga barangan keperluan.

“Oleh itu, saya ingin menyeru kepada rakyat untuk kekal bertenang. Buat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki ada peniaga yang menaikkan harga bekalan asas untuk membuat keuntungan cepat,” kata beliau.