BAGAN SERAI: Majlis perasmian serentak persidangan cawangan-cawangan Umno Bahagian Bagan Serai yang dijadual hari ini, ditangguhkan.

Ketua Umno Bahagian Bagan Serai, Datuk Sham Mat Sahat berkata, perasmian itu dijadual disempurnakan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad di Dewan Komuniti Bagan Serai jam 3.30 petang Isnin.

“Mesyuarat pada petang ini ditangguhkan atas sebab kebimbangan virus COVID 19,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, penangguhan itu juga selaras dengan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

Menurut kenyataan JPPM yang dikeluarkan hari ini, semua pertubuhan dilarang daripada mengadakan program, aktiviti, persidangan, perhimpunan dan mesyuarat agung pertubuhan sehingga 30 Jun.

Ia selaras dengan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan berikutan penularan jangkitan COVID-19.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini JPPM berkata sebagai sebuah jabatan kerajaan yang mengawal selia pertubuhan-pertubuhan berdaftar di Malaysia turut terlibat dengan arahan-arahan ini kerana pertubuhan tersebut akan melaksanakan pelbagai program termasuk mesyuarat pertubuhan di pelbagai peringkat.