KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan bekalan bahan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan termasuk topeng muka, adalah mencukupi.

Perdana Menteri memaklumkan, telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar sentiasa memantau situasi bekalan makanan dan keperluan harian di pasaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuatkuasa.

“Saya merayu kepada saudara-saudari agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini. Ini adalah tanggungjawab bersama yang mesti kita laksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga, masyarakat dan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan perutusan khas Perdana Menteri mengenai COVID-19 yang disiarkan secara langsung, malam ini.