JOHOR BAHRU: Lebih 100 individu di Johor yang pernah menghadiri Perhimpunan Ijtimak Tabligh di Sri Petaling atau mereka mempunyai hubungan dengan jemaah tabligh itu akan dikesan.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Maydin Pitchay, berkata ia termasuk warganegara Pakistan dan Etnik Rohingya.

Katanya, pihak polis menyeru mereka supaya menyerahkan diri dengan membuat pemeriksaan saringan kesihatan di Hospital berdekatan secepat mungkin.

“Masih ada saki-baki lagi individu yang berkaitan dengan kluster tabligh ini, jadi saya menyeru mereka ini serah diri untuk buat pemeriksaan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mereka perlu ada rasa tanggungjawab kerana dari segi agama penting rasa tanggungjawab. Jemaah tabligh ini orang yang dikaitkan dengan mematuhi Agama kalau benar mereka berpegang dengan ajaran Islam, mereka kena ada rasa tanggungjawab, jangan bagi alasan tidak munasabah.

“Polis ini banyak tugas lain, kalau kita hendak fokus cari mereka, kita akan abaikan tugas lain. Jadi satu kerja pula kita hendak cari mereka.

“Tapi saya hendak tegaskan, kita akan cari mereka ini sampai ke lubang cacing itu komitmen yang kita akan tunjukkan.

“Sepatutnya mereka semua ini perlu pergi ke klinik atau hospital buat saringan yang utama, soal sama ada dijangkiti atau tidak soal kedua”, katanya pada sidang media selepas lawatan ke lokasi OP COVID-19 di Jalan Tampoi, di sini, hari ini.

Ayob berkata, pihaknya berusaha mengesan individu terbabit dengan kerjasama KKM dan Pejabat Daerah.

Katanya, tiada senarai nama lengkap tabligh yang menyertai perhimpunan itu diperoleh.

“Kita ada senarai, tetapi mungkin senarai itu tidak lengkap kerana di Sri Petaling juga mereka tidak dapat senarai nama lengkap mereka yang menghadiri perhimpunan itu.

“Sebab itu, polis bersama KKM Dan Pejabat Daerah turun ke kawasan dan mencari sendiri.

“Orang tabligh ini ramai yang kenal jadi dari situ kita akan siasat dan minta mereka saringan kesihatan. Semua orang ada, tabligh ini orang Rohingya, Pakistan juga ada menyertai tabligh”, katanya.