IPOH: Sekatan yang dikeluarkan oleh beberapa buah negara bagi membendung penularan Covid-19 turut memberi kesan kepada pakej muslim yang disediakan oleh agensi pelancongan di Perak.

Antara negara yang mengenakan sekatan itu termasuklah Jepun dan Korea Selatan, di samping negara China sendiri.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Perak, Mohamed Jamaluddin berkata, ekoran sekatan yang itu, mereka mengalami kerugian besar.

“Contoh Korea Selatan kita tak boleh masuk, Jepun kita tak boleh masuk.

“Jadi jemaah berkeluarga atau pun group yang nak pergi tu, kita terpaksa stop kan. Yang tu memang kita mengalami agak besar kerugiannya lah.

“Contohnya untuk bulan 3, bulan 4 ni, cuti sekolah ni, memang effect pada kami lah sebab kebanyakan group dah start tarik dirilah, tak boleh nak pergi,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Beliau memberi contoh, syarikatnya, Kabib Safar Travel & Tour terpaksa membatalkan lima destinasi yang dijadualkan mengikuti pakej muslim ke Jepun, Korea Selatan di samping Indonesia hujung bulan ini sehingga pertengahan Mac.

Bagaimanapun, terdapat beberapa negara yang masih mengeluarkan visa untuk ke negara mereka seperti Jordan dan Palestin.