PUTRAJAYA: Situasi semasa penularan virus COVID-19 yang masih terkawal di negara ini tidak memerlukan solat Jumaat dihentikan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata solat yang diwajibkan kepada lelaki Muslim itu hendaklah diteruskan dengan beberapa perubahan dilakukan, antaranya memendekkan khutbah Jumaat.

Menurut beliau, mereka yang mengalami gejala COVID-19 tidak perlu hadir solat Jumaat kerana termasuk dalam golongan orang yang sakit.

“Individu yang disahkan positif COVID-19 dibolehkan tidak mengerjakan solat Jumaat, tetapi diganti dengan solat Zohor di rumah masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Tausiyah AM agensi agama di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin di sini, hari ini.

Yang turut hadir, timbalannya, Ahmad Marzuki Shaary dan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Paimuzi Yahya. -BH