GEORGE TOWN: Cuaca buruk dan banjir kilat yang melanda Pulau Pinang sejak semalam telah meragut tiga nyawa.

Dalam kejadian pertama, seorang lelaki warga Bangladesh maut selepas kediamannya di Kampung Perlis, Jalan Assumption, Butterworth dihempap pokok besar yang tumbang akibat angin kuat malam tadi.

Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor memaklumkan, mangsa yang masih belum dikenal dentitinya ditemui dibawah rimbunan pokok yang tumbang dan disahkan telah meninggal dunia.
Sementara itu, di bahagian Pulau, dua warga emas ditemui lemas di dalam rumah mereka di dua lokasi berasingan iaitu di Kampung Masjid dan Jalan P Ramlee.

Komander Operasi Kanan Zon 1 Negeri, Andul Rahman Norudin berkata, mangsa pertama adalah seorang wanita berusia 80-an yang ditemui pada jam 6.30 pagi di sebuah rumah orang tua di Jalan P Ramlee.

Katanya, ketika pemeriksaan dilakukan, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di dalam rumah sebelum dibawa keluar untuk pemeriksaan lanjut.

Katanya, mangsa kedua pula seorang lelaki dalam lingkungan 70-an ditemui terapung di dalam rumahnya di Kampung Masjid, Jalan Perak kira-kira jam 8.30 pagi.

Hasil pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang (HPP) mendapati kedua-dua mangsa sudah meninggal dunia.

Mayat kedua mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik HPP untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. – ASTROAWANI