IPOH: Jelajah berbasikal Tour of Malaysia 2017 (TOM2017) ditunda ke awal tahun depan berikutan jangkaan cuaca buruk di tujuh daripada 10 lokasi yang dijadualkan terlibat sepanjang minggu ini.

Siri jelajah itu akan melibatkan kayuhan peringkat pertama dari Selama ke Lumut; seterusnya dari Lumut ke Teluk Intan; dari Tanjung Karang ke Bentong; dari Teluk Chempedak ke Chukai; dan dari Chukai ke Pekan.

Menurut kenyataan media Peloton Resources, penganjur TOM2017, kawasan yang dijangka menerima impak kepada pelaksanaan siri jelajah itu ialah Taiping, Selama, Lumut, Teluk Intan, Tanjung Karang, Bentong, Kuantan, Kemaman dan Pekan.

Penganjur berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi dan pejabat daerah, kawasan yang dilalui terutamanya pantai timur yang melibatkan 40 peratus daripada keseluruhan laluan kejohanan adalah kawasan rendah yang sering ditenggelami air.

“Secara teknikal, penganjur telah bersiap sedia dengan jalan alternatif dengan kebarangkalian berlakunya banjir atau air pasang, bagaimanapun sedikit sebanyak akan menjejaskan kelancaran kejohanan,” katanya.