IPOH: Walaupun keadaan cuaca yang panas ketika ini, paras air di empangan-empangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sepanjang Sungai Perak masih pada paras yang mencukupi dan terkawal untuk disalurkan kepada loji-loji pam Jabatan Pengairan & Saliran (JPS).

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, loji rawatan air Lembaga Air Perak (LAP) juga masih beroperasi seperti biasa.

Menurut beliau, Empangan Temengor ketika ini berada pada paras 242.95 meter, berbanding paras minimum 238 meter dan kritikal 237 meter manakala Empangan Chenderoh pula berada pada paras 60.01 meter, berbanding paras minima 59 meter dan kritikal 57.9 meter.

“Manakala paras dua empangan yang membekal air ke Loji Rawatan Air Sg. Kinta dan Ulu Kinta serta Loji RawatanAir Kuning, Taiping menunjukkan paras yang tinggi dan berada pada paras maksima,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Bulan Mac merupakan penghujung Monson Timur Laut dan kebanyakan tempat lazimnya kurang menerima tempoh hujan yang panjang di samping bacaan suhu di negeri-negeri di sebelah utara Semenanjung Malaysia meningkat dan mengalami keadaan cuaca yang panas dan kering berbanding negeri-negeri lain.

Menurut Zainol Fadzi, paras semasa Empangan Sultan Azlan Shah ialah 245 meter, berbanding paras kritikal 190 meter manakala paras semasa Empangan Air Kuning ialah 42.52 meter, berbanding paras kritikal 37 meter.

Beliau memberitahu, bagi sumber bekalan air pengairan kawasan jelapang padi dan kawasan luar jelapang padi di negeri Perak, musim 1/2018, jadual pengairan berjalan seperti biasa, tanpa sebarang penangguhan jadual buat ketika ini.

Katanya, status bekalan air bagi Empangan Bukit Merah masih berada di dalam keadaan normal dan terkawal, begitu juga bagi kawasan jelapang padi di Sg Manik dan di Seberang Perak.

Bagi kawasan luar jelapang padi di Perak Tengah, kata Zainol Fadzi, hanya kawasan pengairan Bota Lambor (Rumah Pam Pendiat) seluas 404 hektar dan kawasan pengairan Bota Kiri (Rumah Pam BotaKiri) seluas 500 hektar sahaja yang ditangguhkan jadual pengairannya selama dua minggu.

“Penangguhan ini dibuat memandangkan paras air Sg Perak di kedua dua lokasi ini agak rendah sedikit daripada paras normal bagi tujuan pengepaman air,” ujarnya.

Beliau menambha, bagi enam kawasan luar jelapang padi yang lainnya iaitu Rumah Pam Saiong( Daerah Kuala Kangsar, Rumah Pam Parit (Perak Tengah), Rumah Pam Kubang Haji (Perak Tengah), Rumah Pam Senin (Perak Tengah), Rumah Pam Teluk Bakong (Perak Tengah) dan Rumah Pam Lambor Kiri (Perak Tengah), kesemuanya beroperasi dan berjalan seperti yang dijadualkan tanpa sebarang penangguhan jadual pengairan.

Menurut beliau, walaupun paras air di kawasan jelapang dan di luar jelapang padi kini kebanyakannya masih lagi berada di tahap melebihi daripada paras normal, JPS Perak akan terus memantau keadaan cuaca dan taburan hujan di kawasan tadahan empangan dan sungai.

Katanya, ia bagi memastikan maklumat segera dan tepat dapat disalurkan kepada petani-petani khususnya dan pihak berwajib amnya, bagi memastikan penggunaan air yang optimum dapat dimanafaatkan sepenuhnya di sepanjang musim pengairan 1/2018 ini.

Dalam pada itu, kata beliau, pihak TNB sedang berusaha untukm eminimumkan kesan kurangnya kadar aliran air akibatcuaca terkini yang memasuki musim kemarau.

“Pihak TNB akan melakukan pengubahsuaian terhadap prosedur operasi standard penjanaan tenaga elektrik dari unit janakuasa demi memastikan sumber air untuk pengairan pertanian, kegunaan industri dan domestik di daerah-daerah tersebut tidak terjejas,” ujarnya.

Menurutnya, semua agensi seperi TNB, LAP, JPS dan semua agensi yang terlibat akan terus bekerjasama dari segi pemantauan paras air di setiap empangan, loji pam dan loji rawatan air agar kejadian masalah operasi loji dapat dielakkan.