IPOH – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Buntong, di sini, cuba bertindak membunuh diri dengan meminum racun jenis paraquat yang ditemuinya di dalam tandas sekolahnya pada Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, mangsa dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun oleh gurunya selepas mengalami muntah-muntah dan kini berada dalam keadaan stabil.

“Mangsa mendakwa, pada mulanya semasa sedang membuang air kecil di tandas sekolah tiba-tiba seorang lelaki datang dari arah belakang yang kemudian mencekik lehernya dengan menggunakan lengan serta menuang sejenis cecair ke dalam mulutnya.

“Mangsa kemudiannya mendakwa dia meronta melepaskan diri lalu lari ke dalam kelas tanpa melihat suspek,” kata Mohd Ali dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hasil siasatan di tempat kejadian tidak menjumpai sebarang bekas berisi racun dan bila disoal siasat mangsa tidak ingat di mana kononnya botol racun tersebut dibuang selepas dipaksa meminumnya, tambah beliau.

Ragu dengan keterangan yang diberikan mangsa, pegawai penyiasat mengambil keterangan pelajar itu sekali lagi Sabtu lepas dan mangsa mengaku tiada suspek yang memasukkan cecair ke dalam mulutnya sebaliknya dia menjumpai cecair itu dalam botol di tandas dan meminumnya sedikit.

“Pelajar itu memberitahu racun itu tersimpan di dalam botol di atas sinki di hadapan tandas sekolah yang botolnya dibuang ke dalam longkang selepas meminumnya,” katanya.

Mohd Ali berkata, pelajar itu membuat pengakuan kepada bapa saudaranya bahawa dia telah meminum sendiri racun itu, namun enggan memaklumkan kepada keluarganya mengenai kejadian sebenar kerana bimbang akan dimarahi.

“Perkara sebenar hanya diketahui oleh bapa mangsa, bapa saudara dan ibu saudara mangsa, namun kesemuanya enggan memberitahu ibu mangsa mengenai perkara sebenar disebabkan bimbang ibu mangsa tidak boleh menerima kenyataan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga dimaklumkan mangsa tidak mengalami apa-apa tekanan perasaan berkaitan masalah percintaan, perhubungan kekeluargaan atau permusuhan serta permasalahan dengan sesiapa di sekolah.

“Ibu bapa mangsa tidak bercerai tetapi tidak duduk bersama,” katanya sambil menambah kes itu disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh diri.