GERIK: Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) berjaya menahan dan mematahkan cubaan memindahkan kayu getah tanpa kebenaran dengan dua buah lori di jalan raya Air Panas Ganda, di sini semalam.

 

Pengarah JPNPk, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata penahanan ini dibuat berdasarkan kegagalan pemandu menunjukkan sebarang dokumen berkaitan kebenaran daripada pihak jabatan.

 

“Pihak kami telah menerima satu maklumat berkaitan aktiviti pemindahan kayu getah tanpa kebenaran semalam (Isnin).

 

“Satu pasukan Penguatkuasa dari Pejabat Hutan Daerah Hulu Perak telah bertindak dan menjalankan kerja-kerja pemeriksaan ke atas maklumat tersebut.

 

“Hasil dari pemeriksaan tersebut, pihak jabatan telah menahan dua buah lori dengan muatan dipercayai kayu getah,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

 

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Gerik berhubung kes ini manakala lori dan muatankayu getah tersebut telah dirampas dan disita serta dipindahkan ke Pejabat Renjer Hutan Lawin untuk tujuan penyimpanan sementara.

 

Katanya lagi, kedua – dua pemandu tersebut telah dilepaskan dengan Bon Jaminan Polis.

 

“Kesalahan yang boleh didakwa ke atas kedua – dua suspek ialah mengambil dan memindah kayu getah tanpa lesen dan gagal menjelaskan bayaran royalti di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 dan tidak mematuhi arahan Pekeliling Pengarah Perhutanan Negeri Perak Bil.2/2019.

 

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 50,000 atau penjara selama tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya denda dan penjara.

 

“Walau bagaimanapun ianya akan diputuskan setelah siasatan lengkap dijalankan oleh pihak penyiasat  JPNPk,” katanya.

 

Mohamed Zin turut menasihatkan kepada orang awam bahawa pihaknya akan tetap menguatkuasa Akta Perhutanan Negara 1984 melalui pemantauan dan rondaan yang dibuat walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).