Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Cubaan dua anggota polis yang dipercayai cuba membawa masuk barangan ke dalam lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh gagal setelah ditahan pada malam Selasa lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Gan Tian Kee berkata kedua-dua mereka masing-masing berpangkat Lans Koperal dan Koperal ditahan sekitar jam 10 malam di pekarangan Balai Polis Sentral di sini.

“Seorang pegawai kanan polis telah menerima maklumat lalu menahan kedua-dua anggota polis itu dan hasil pemeriksaan, polis telah menjumpai dua plastik sampah dalam kereta mereka.

“Plastik sampah itu mengandungi barang-barang seperti bateri, rokok, minuman botol, coklat, ubat gigi, kek, daun terup dan lain-lain barang,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Tian Kee berkata, buat masa ini pihaknya akan membuka kertas enkuari polis (KEP) untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.