PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menafikan mengeluarkan kenyataan berhubung isu penyelewengan dan rasuah di Kelantan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, dalam satu kenyataan berkata, SPRM mendapati ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull dan suruhanjaya itu untuk menyebarkan kenyataan itu, baru-baru ini.

“Tindakan itu dilihat sebagai ingin mencemarkan reputasi SPRM.

“Ingin ditegaskan bahawa SPRM komited menjalankan tugas dengan telus, bebas dan profesional tanpa memihak kepada mana-mana individu di bawah kepimpinan Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan berita yang tidak sahih menggunakan nama pengurusan tertinggi SPRM. – BERNAMA