KULAI: Tiga penjenayah melarikan diri dengan tangan kosong selepas gagal memecahkan cermin ruang pameran sebuah kedai emas di Pasaraya Econsave Cash and Carry di Taman Putri, Kulai jam 7.40 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam cubaan merompak itu, tiga suspek masuk ke premis itu dengan bersenjatakan tukul besi dan parang.

Katanya, ketika itu tiada pelanggan dan hanya ada dua pekerja perempuan.

“Kumpulan lelaki itu yang memecah lapisan pertama ruang pameran emas bagaimanapun gagal memecah lapisan kedua.

“Selepas gagal berbuat demikian dalam tempoh 10 minit, tiga suspek lelaki itu bertindak meninggalkan premis perniagaan itu.

“Kumpulan itu dilihat menaiki motosikal bernombor pendaftaran JQW 7433,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, pemilik serta pekerja kedai emas berkenaan tidak dapat mengecam suspek yang memakai topi keledar.

Beliau berkata, mereka yang memakai jaket merah dan hitam itu didapati berkulit gelap, bertubuh kurus serta memiliki ketinggian kira-kira 170 sentimeter.

“Tiada sebarang kehilangan barangan atau kerugian dalam cubaan merompak itu,” katanya.

Dzulkhairi berkata, perbuatan kumpulan itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV).

“Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan dan suspek sedang diburu,” katanya – berita harian