IPOH – Tindakan pihak tidak bertanggungjawab memuat naik status mengenai pelantikan Ahli Majlis Perbandaran Taiping yang didakwa semuanya bangsa Cina dilihat bertujuan memecah-belah perpaduan kaum di negeri ini.

Speaker Dun Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana daripada 23 ahli majlis dilantik, hanya 12 sahaja berbangsa Cina manakala bakinya adalah Melayu dan India.

“Saya berasa amat kesal kerana isu perkauman dan agama sentiasa dibangkitkan disebabkan oleh politik sedangkan kita tahu isu ini boleh memecahbelahkan rakyat Malaysia yang hidup harmoni selama ini.

“Misalnya pelantikan Ahli Majlis Perbandaran Taiping yang mana bukan semua mereka berbangsa Cina, hanya 12 sahaja manakala sembilan lagi bangsa Melayu dan dua bangsa India,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Koo Ham berkata, di negeri ini terdapat 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mempunyai tugas menjaga kawasan masing-masing dan setiap ahli majlis yang dilantik adalah mereka yang mewakili kaum yang ada di kawasan berkenaan.

“Memang di Taiping dan Ipoh misalnya ada lebih ramai masyarakat Cina di kawasan tersebut dan kemungkinan itu kawasan mereka diwakili lebih ramai ahli majlis, begitu juga beberapa kawasan lain mana yang majoriti penduduknya Melayu maka ahli majlis juga ramai Melayu.

“Apa yang penting mereka yang dipilih menjadi ahli majlis mestilah berdasarkan Akta Kerajaan Tempatan di mana wakil yang dipilih mesti orang tempatan dan mampu memberi khidmat kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak mudah mempercayai sesuatu perkara yang dikongsi di laman sosial dan perlu mencari kesahihannya kerana jika tidak ia akan membawa kepada perpecahan kaum.

Terdahulu tular di laman sosial apabila mendakwa sekeping gambar yang dimuat naik merupakan Ahli Majlis Perbandaran Taiping yang semuanya daripada kaum Cina hingga mendatangkan pelbagai reaksi umum – sinar