JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Johor menggagalkan cubaan menyeludup masuk 13 ayam laga dan 66 murai batu dianggarkan bernilai lebih RM50,000 dalam Ops Bersepadu di Terminal Bas Larkin, di sini, hari ini.

Kerjasama itu terjalin apabila anggota dan pegawai SPAD yang menyamar sebagai penumpang dan menaiki bas ekspres dari Kota Bharu menyedari cubaan menyeludup masuk haiwan itu sebelum memaklumkan kepada pegawai JPV Johor.

Pengarah JPV Johor, Dr Aida Muhid berkata, sebaik mendapat maklumat dari anggota penguatkuasa SPAD itu, lima anggotanya termasuk seorang pegawai menunggu bas berkenaan di Terminal Bas Larkin, pagi tadi.

“Hasil pemeriksaan, kami menemui sembilan ayam laga yang masih hidup, manakala empat yang lain mati dalam kotak berasingan.

“Kami juga menemui 50 Murai Batu yang masih hidup tetapi 16 burung sama yang mati dalam kotak berasingan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kesemua ayam laga itu disita mengikut Seksyen 18 Akta Binatang 1953, dan pemeriksaan untuk haiwan dan unggas disyaki berpenyakit dan Seksyan 19 akta sama untuk pelupusan haiwan atau unggas berisiko berpenyakit berbahaya.

Kesemua ayam laga itu, kini ditempatkan di klinik veterinar Johor Bahru untuk menjalani pemeriksaan sebelum tindakan susulan dijalankan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Burung murai batu itu yang juga spesis dilindungi akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor.

Difahamkan, seekor burung murai batu itu boleh dijual antara RM1,500 hingga RM3,000, manakala ayam laga boleh dijual antara RM500 hingga lebih RM10,000 bergantung pada jenis baka dan usia ayam berkenaan.

Ayam laga berkenaan dipercayai diimport dari Thailand untuk pasaran tempatan mungkin untuk aktiviti laga ayam seperti ditumpaskan sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di Jalan Pisang Nangka, Kangkar Pulai, 28 Januari lalu.

Sementara itu, jurucakap SPAD berkata, sepanjang menyamar sebagai penumpang dari Hentian Bas Kota Bharu, pihaknya mendapati pemandu bas ekspres itu melakukan pelbagai kesalahan, termasuk mengambil penumpang di tempat tidak dibenarkan, pulang ke rumah bersama penumpang yang masih di dalam bas dan membawa muatan tidak dibenarkan (ayam laga dan burung Murai Batu.

“Sebaik tiba di Terminal Bas Larkin, kami menahan bas untuk tindakan lanjut, manakala pemandu dibawa ke balai polis berhampiran untuk menjalani ujian saringan air kencing.

“Hasil siasatan, pemandu dan pemandu kedua diberi upah antara RM30 hingga RM50 sekotak untuk membawa haiwan berkenaan ke bandar raya ini dan semua ayam laga dan burung Murai Batu itu diserahkan kepada jabatan berkaitan untuk tindakan susulan.

“Berikutan itu, bas ekspres berkenaan disita mengikut Seksyen 81 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana membawa muatan tidak dibenarkan dan lima kesalahan mengikut Seksyen 22 akta sama iaitu mengambil penumpang di tempat tidak dibenarkan, memandu melebihi had kelajuan dan memotong di garisan berkembar,” katanya – berita harian