BUKIT KAYU HITAM: Cubaan seorang lelaki menyeludup 30 guni mengandungi 900 kilogram (kg) benih kerang bernilai RM30,000 ke negara jiran, gagal apabila ditahan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kedah.

Lelaki tempatan berusia 36 tahun berasal dari Kulim itu ditahan di Kilometer 2 berhampiran Balai Polis Bukit Kayu Hitam ketika cuba memasuki Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Keselamatan (ICQS) di sini, jam 5 petang semalam.

Komander AKSEM Bukit Kayu Hitam, Asisten Superintenden Mohd Khairi Abdullah, berkata hasil maklumat dan risikan, anggotanya mengekori kenderaan lelaki terbabit sebelum menahannya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menemui timbunan guni basah di bahagian tempat duduk belakang dan hadapan kenderaan pelbagai guna jenis Naza Ria yang dipandu lelaki itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati guni itu mengandungi benih kerang yang dipercayai cuba diseludup ke Thailand dari negara ini untuk diternak.

“Lelaki itu dipercayai memperoleh benih kerang dari tempat transit di Kampung Tradisi, namun kita masih menjalankan siasatan dari mana bekalan berkenaan diperoleh.

“Bagaimanapun, kita percaya lelaki itu terbabit dengan sindiket yang ada banyak rangkaian dan bergerak secara beramai-ramai. Namun apabila mengetahui lelaki itu ditahan, mereka mungkin melarikan diri,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Kompleks Pentadbiran AKSEM di sini, hari ini.

Mohd Khairi berkata, pihaknya percaya benih kerang itu baru diperoleh dan suspek membasahkan guni untuk mengelakkan ia mati kerana benih kerang hanya mampu bertahan dalam tempoh 24 jam bergantung pada keadaan serta cuaca.

“Kes akan diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk tindakan lanjut, dan disiasat mengikut Perkara 3 (1) Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan Kultur Kerang) 2002,” katanya – berita harian