JASIN: Tiga cucu menjadi wira apabila nekad menyelamatkan nenek mereka yang berusia 70 tahun dan berkerusi roda daripada menjadi mangsa kebakaran rumah, semalam.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian kira-kira jam 5.45 petang di Kampung Kesang Tua itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kesang Barat, Zainal Kadir, berkata, masing-masing tiga orang dewasa dan tiga kanak-kanak tinggal di rumah itu.

Bagaimanapun, ketika kebakaran, hanya nenek berkenaan, Rosnah Ahmad, 70, yang tidak boleh bergerak dan berkerusi roda, berada di rumah bersama tiga cucu iaitu dua lelaki dan seorang perempuan, dua orang berusia 12 tahun dan seorang sembilan tahun.

Rosnah adalah juga bekas Ketua Wanita UMNO cawangan Kesang Barat.

“Tiga kanak-kanak terbabit bertindak pantas, mengeluarkan nenek mereka yang berada di atas kerusi roda,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, rumah Rosnah musnah sepenuhnya dan keluarga berkenaan tinggal sehelai sepinggang.

Katanya, keluarga terbabit kini ditempatkan sementara di Bilik Gerakan JKKK Kesang Barat, dan menerima bantuan daripada pelbagai pihak termasuk pejabat daerah, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Kesihatan Daerah dan wakil rakyat.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bestari, Rahizam Ruzali berkata, pihaknya menerima panggilan jam 6.03 petang dan tiba ke lokasi jam 6.17 petang.

“Setiba di lokasi, kita dapati api marak membakar rumah separuh kekal dengan keluasan 9 x 7.4 meter persegi.

“Kebakaran membabitkan 80 peratus rumah yang bahagian depannya diperbuat daripada kayu dan hanya dapur dibuat daripada batu,” katanya ketika dihubungi.

Katanya seramai 20 anggota dikerah ke lokasi kejadian dan turut mendapat bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Jasin serta Bukit Katil – berita harian