KUALA LUMPUR: Pengurangan hasil daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berkadar sifar mulai 1 Jun ini akan ditampung oleh langkah khusus hasil dan perbelanjaan yang dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan hari ini, susulan daripada itu, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan diperkenalkan semula.

“Program pembaharuan fiskal kerajaan sedang dalam pelaksanaan.

“Pengurangan perbelanjaan akan dimulakan dengan langkah rasionalisasi dan kecekapan serta mengurangkan ketirisan. Selain itu harga minyak mentah dunia telah meningkat ketara berbanding anggaran​​​​​​​ Bajet 2018 iaitu US$52 setong.

“Ini akan menyediakan ruang fiskal dalam tempoh terdekat. Tanggungjawab fiskal, ketelusan dan tadbir urus akan diberi keutamaan dalam pelaksanaan program pembaharuan fiskal,” katanya. – BERNAMA