KUALA LUMPUR : Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mengakui menerima laporan dan rungutan orang ramai berhubung tindakan peniaga termasuk restoran serta warung menaikkan harga minuman dengan alasan dikenakan cukai untuk minuman bergula yang dilaksanakan kerajaan pada awal bulan ini.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ahmad berkata, memang berlaku kekeliruan termasuk dalam kalangan peniaga yang merasakan perlu menaikkan harga minuman sedangkan mereka tidak terlibat dengan cukai berkenaan.

“Bila kerajaan laksanakan cukai tersebut pada 1 Julai lalu iaitu penjual air di warung pun menaikkan harga sedangkan mereka tidak terlibat, itu berlaku. Memang ditemui aduan kenaikan harga minuman dengan alasan cukai soda dikenakan, tanpa mengetahui mereka jual teh tarik tiada kaitan dengan cukai soda.

“Pelanggan juga apabila maklumat tidak mencukupi mereka terima, mereka kata tidak mengapa apabila restoran kata ada cukai soda. Wujud kekeliruan, jadi saya berpendapat bahawa kerajaan harus lipat gandakan penerangan supaya lebih meluas kefahaman mengenainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis perasmian pasar raya AJ Best di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekuif AJ Best Holdings Sdn. Bhd., Abdul Jabbar Shaik Mohamed dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Pengurusan Aset Uda Holdings Bhd., Datuk Ahmad Tajuddin Mohamed.

Sementara itu, Saifuddin Nasution menjelaskan, pihaknya masih lagi menerima aduan yang tinggi daripada orang ramai berkaitan kenaikan harga barang terutama dalam segmen makanan dan minumannya (F&B).

“Kami masih menerima aduan yang tinggi berkaitan kenaikan harga barang dalam segmen F&B, masih tinggi dan aduan itu terus kekal.

“Pihak kementerian selalu melayani aduan daripada rakyat dan kami betul-betul boleh mengetahui dengan tepat keluh kesah mereka, daripada situ kami dapati bila mereka berbelanja mereka masih berdepan dengan harga barang yang tinggi dan 50 peratus daripadanya adalah dalam segmen F&B,” katanya.