IPOH: Bilangan pembayar cukai taksiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang melunaskan bayaran setahun meningkat 4.55 peratus atau 5,913 bil tahun ini, berbanding tahun 2017.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, tahun ini 135,795 warga Ipoh membuat bayaran setahun, berbanding 129,882 tahun lalu.

Menurut beliau, pertambahan itu sekaligus meningkatkan kutipan RM34.7 juta tahun ini, berbanding kutipan tahun lalu RM31.7 juta.

“Ini menunjukkan bahawa warga kota semakin menyambut positif peluang yang disediakan oleh kita kerana mereka yang layak menyertai cabutan bertuah ialah mereka yang membuat bayaran setahun sebelum 28 Februari,” katanya kepada pemberita selepas majlis cabutan bertuah cukai taksiran MBI 2018 di pekarangan bangunan MBI di sini, hari ini.

Pada majlis itu, wakil beberapa pertubuhan seperti ketua kampung, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk, Majlis Masyarakat Sivil, wartawan dan Ahli Majlis MBI membuat 200 cabutan bertuah.

Datuk Bandar pula membuat 30 cabutan untuk hadiah utama, antaranya sebuah kereta Perodua Axia, motosikal, basikal dan barangan elektrik.

Pemenang-pemenang hadiah utama akan ditentukan dalam satu lagi cabutan di kalangan 30 tersebut yang adakan dilakukan hujung bulan ini, atau awal April.

Dalam pada itu, Zamri berharap, warga Ipoh tidak menunggu saat-saat akhir untuk membuat bayaran cukai taksiran kerana ia membuatkan kaunter bayaran sesak.

“Kalau hari-hari biasa, lazimnya kita mengutip antara RM2 juta dan RM3 juta tetapi pada tiga hari terakhir, kutipan mencecah RM7 juta – RM 8 juta,” ujarnya.

Mengulas mengenai rungutan penduduk terhadap caj letak kereta di kawasan Buntong, beliau berkata, terdapat kira-kira 19,000 lot letak kereta di sekitar bandaraya, termasuk di kawasan berkenaan.

“Bagi kawasan yang telah diwartakan, sesiapa sahaja yang menggunakan kawasan itu, perlu membayar mengikut kadar yang telah diputuskan oleh MBI, termasuklah di Buntong yang telah lama diwartakan,”ujarnya.

Mengenai rungutan peniaga di kawasan Meru Raya yang menghadapi pelbagai masalah seperti kebersihan, keceriaan dan kecurian, Zamri menjelaskan, sebahagian besar kawasan itu masih di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP).