SHAH ALAM – Tiada keperluan cukai pelancongan diteruskan, demikian pandangan penganalisis ekonomi, Dr Bahyah Baba.

Beliau berpendapat, pelaksanaan cukai ini hanya akan mengurangkan pelancong datang ke Malaysia.

“Selama ini pelancong suka datang ke Malaysia kerana tidak ada cukai sebegini. Tetapi, selepas ini, mereka perlu membayar cukai secara terus. Tidak mungkin cukai untuk hotel bertaraf lima bintang rendahkan.

“Cukai ini dilihat membebankan pelancong dan juga orang tempatan yang ingin bercuti,” katanya kepada Sinar Online.

Beliau berkata, pada masa ini, Malaysia sudah ada cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dilihat tidak begitu disenangi.

“Negara kita sudah sedia ada cukai barang dan perkhidmatan (GST). Sejak ia diperkenalkan, sudah lebih RM30 bilion sudah dikutip.

“Lembaga Hasil Dalam Negeri juga sudah memungut lebih RM100 bilion. Jadi, apa lagi yang ingin dicukaikan?” katanya kepada sinar Online.

Beliau berkata, ekoran kenyataan untuk pelaksanaan cukai ini, ramai pihak yang mula bersuara termasuklah ahli politik.

“Isu ini sedikit sebanyak membuatkan suasana huru-hara. Saya berpendapat, ahli politik perlu mengambil kursus ekonomi.

“Ini dapat membantu kerajaan pulihkan ekonomi dengan dasar-dasar yang lebih mesra pengguna,” katanya.

Jelasnya, sebaiknya, ahli politik tidak perlu bertelagah mengenai isu ini.

“Perbezaan pendapat ini boleh menjejaskan pelaburan di negara ini. Cukup-cukuplah buat kecoh… orang luar tu tengok saja kita ni. Kestabilan politik penting untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan Cukai Pelancongan yang akan menyaksikan kadar antara RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalam, akan tetap diteruskan mulai 1 Julai ini.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah yang baharu dilantik ke jawatan itu bulan lalu, mengkritik tindakan Mohamed Nazri untuk melaksanakan cukai pelancongan ke seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Abdul Karim menggesa kerajaan menangguhkan dahulu pelaksanaan cukai pelancongan ini.

Susulan pengumuman itu, Mohamed Nazri Aziz menggelarnya sebagai menteri ‘setahun jagung’.

Rentetan itu, Pengerusi Pemuda BN Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof membidas Mohamed Nazri kerana mengeluarkan kenyataan yang kasar dan tidak melambangkan semangat kekeluargaan dalam Barisan Nasional (BN).

Memasuki episod baharu, Mohamed Nazri dipetik sebagai berkata, beliau tidak peduli apa yang dikatakan pemimpin BN Sarawak terhadapnya, malah enggan mempedulikan ketua pergerakan itu sendiri.

-SinarHarian