KULIM – Seorang jurujual penapis air menafikan dia memperdaya orang ramai dan terlibat kes culik kanak-kanak seperti tular di media sosial.

Mohd Badrul Amin Abd Rahim, 19, berkata, tuduhan yang dilemparkan itu tidak benar dan bimbang semakin berleluasa di media sosial.

“Pada Selasa lalu saya dituduh cuba melakukan pukau di Guar Perahu malah kelmarin dituduh menculik kanak-kanak di kawasan Taman Selasih.

“Kejadian di Taman Selasih saya mula sedar kira-kira jam 4 petang ketika itu lakukan promosi penapis air di kawasan tersebut, tiba-tiba datang seorang wanita bertanya adakah saya orang yang menculik kanak-kanak.

“Bimbang dengan tuduhan itu, saya telah membuat laporan polis untuk pertahankan diri, kerana kereta Proton Saga yang digunakan milik ayah telah disebarkan,” katanya.

Mohd Badrul Amin berkata, hampir dua tahun dia menjual penapis air dan bergerak dari rumah ke rumah.

“Memang semua kawasan perumahan saya pergi. Saya lakukan kerja ini dengan cara baik bagaimana pula boleh keluar cerita bukan-bukan.

“Tak mungkin saya nak lakukan jenayah sedangkan ini sumber pendapatan untuk membantu keluarga dan hari-hari saya perlu berdepan dengan orang ramai,” katanya.

Tambahnya, dia tetap akan meneruskan pekerjaan itu yang menjadi sumber pendapatan tetapnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Kulim Superintendan Abdullah Arshad berkata, polis telah menerima laporan daripada pengadu menafikan berita yang tular mengenainya berhubung kes penculikan kanak-kanak.

-SinarHarian