SHAH ALAM: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih menunggu keputusan kerajaan Selangor untuk memeterai Ikrar Bebas Rasuah (IBR) bersama agensi itu sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, berkata semua negeri sudah melafazkan IBR termasuk negeri yang ditadbir pembangkang seperti Pulau Pinang dan Kelantan.

“Ini amat mendukacitakan saya kerana Selangor menjadi satu-satunya negeri yang belum melakukan IBR. Namun, kita tidak putus harap dengan kerajaan negeri untuk mendapatkan tarikh yang sesuai bagi IBR itu.

“Saya merayu kerajaan negeri melaksanakan ikrar berkenaan bagi menunjukkan komitmen. Jika negeri lain boleh melaksanakannya, kenapa Selangor perlu melakukan hal berbeza?,” katanya selepas Program Jimat Belanja Dapur Anjuran FAMA, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan SPRM di Pasar Tani Seksyen 13 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak dan Ketua Pengarah LKIM, Datuk M Saedon Ab Majid.

Dalam pada itu, Dzulkifli turut memberi akujanji beliau sendiri akan menghadiri program berkenaan jika kerajaan negeri sudah memilih tarikh bersesuaian untuk memeterai IBR.

“Apa yang penting kerajaan Selangor juga menunjukkan komitmen sama seperti negeri lain,” katanya.

Program bersama FAMA dan LKIM itu bertujuan mendekatkan SPRM dengan masyarakat untuk menyampaikan mesej antirasuah.

SPRM turut membuka kaunter pendaftaran Ahli Gerakan Revolusi AntiRasuah (GERAH) dan hingga yang kini mempunyai lebih 150,000 ahli seluruh negara -berita harian