KAMPUNG GAJAH: Jangkitan selesema bermusim di tiga sekolah di Ipoh dilaporkan terkawal, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai bertenang dan tidak panik dengan laporan tersebar di media sosial kononnya berlaku penularan virus selesema babi (H1N1) di negeri itu.

“Saya dimaklumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baru negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon, ini bukan kes H1N1.

“Ia hanya kes demam bermusim dan keadaan kini terkawal. Orang ramai jangan panik dan bimbang. Jabatan Kesihatan sudah mengambil langkah perlu menangani penyakit ini,” katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas menghadiri Karnival Mahabbah Institusi Agama sempena Program Pemukiman Menteri Besar di Daerah Perak Tengah di Masjid Al-Ansar di FELCRA Changkat Lada di sini, hari ini.

Seramai 216 pelajar di tiga sekolah di Perak disahkan menghidapi selesema bermusim dan bukannya H1N1. Setakat ini, seramai 129 pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah, 84 pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) dan tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Klebang disahkan menghidapinya.

-BeritaHarian