MERU – Berlegar di pekarangan masjid dan meminta izin untuk mandi. Rupanya itu taktik seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang dikesan mencuri dua beg tangan peserta kursus haji di Masjid Al-Mutaqqim, di sini, Sabtu lalu.

Video lelaki memakai pakaian berwarna gelap dan berkopiah putih ketika melakukan kegiatan tidak bermoral itu kini tular di laman sosial.

Ahli Jawatankuasa Masjid, Jamaluddin Mahmud berkata, kejadian disedari berlaku kira-kira jam 8 pagi selepas dimaklumkan oleh kedua-dua mangsa.

Menurutnya, seorang daripada mangsa memberitahu meninggalkan beg tangannya di atas kerusi manakala seorang lagi meletakkan beg tangannya di atas tangga berdekatan bilik air masjid.

“Ketika itu, peserta kursus haji masih belum ramai dan kedua-dua mereka dikatakan berada di tepi masjid.

“Dan pada waktu nak melangkah masuk ke dalam masjid, barulah mereka tersedar beg kepunyaan mereka hilang dan dipercayai dicuri,” katanya.

Jamaluddin berkata, berdasarkan semakan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di masjid tersebut, dia dapat mengecam lelaki terbabit.

Katanya, selain kerap berlegar-legar di kawasan masjid, lelaki itu juga pernah menggunakan kemudahan di masjid berkenaan.

“Saya pernah menegurnya beberapa kali supaya mandi di bilik air kerana lelaki itu sering mandi di tandas,” katanya.

Katanya, kejadian itu bukanlah yang pertama kerana sebelum ini pernah berlaku kes kecurian dan antaranya dialami sendiri oleh jawatankuasa masjid.

“Antara kes kecurian yang pernah berlaku adalah ketika solat Isyak yang membabitkan seorang wanita berpakaian lengkap bertelekung mencuri barangan jemaah masjid.

“Kereta imam masjid juga pernah dipecah masuk dan mencuri beg duit serta telefon,” katanya.

-SinarHarian