MANJUNG – Kegiatan seorang lelaki tempatan mencuri dan menjual motosikal kepada warga asing dengan harga antara RM200 hingga RM500 sebuah akhirnya terbongkar selepas ditahan polis sekitar jam 6 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung, Deputi Superitendan Chong Bhoo Khim berkata, suspek berusia 51 tahun itu dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah curi motosikal hampir setahun sekitar Manjung.

“Suspek ditahan polis ketika dia menunggang Yamaha Ego biru semasa Ops Lejang dijalankan lebih kurang jam 6 petang semalam sekitar Pekan Segari.

“Hasil pemeriksaan dan semakan mendapati motosikal ditunggang suspek mempunyai rekod hilang di Sitiawan,” katanya kepada pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, hari ini.

Menurut Bhoo Khim, hasil soal siasat suspek mengaku mencuri motosikal tersebut di hadapan kedai gambar di Sitiawan yang dilaporkan hilang tujuh jam setelah laporan polis dibuat semalam.

“Soal siasat lanjut mendapati suspek mencuri lima lagi motosikal di Manjung melibatkan Honda C100 di Taman Biru dan Yamaha Ego di Medan Seri Sentosa, di Ayer Tawar, tiga Honda C100 di Sitiawan.

“Kesemua motosikal yang dicuri itu disembunyikan di kebun sawit di Batu 7, Segari sebelum dijual kepada warga asing dengan harga RM200 hingga RM500 sebuah,” katanya.

Tambahnya, suspek kini ditahan reman bermula hari ini hingga 12 Ogos dan kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.

Sementara itu dalam kes berasingan, seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun turut ditahan di rumahnya selepas dipercayai mencuri barangan antik di sebuah muzium di Kampung Koh, Sitiawan, sekitar jam 4 petang kelmarin.

Menurut Bhoo Khim, hasil pemeriksaan di rumah suspek yang terletak kira-kira tiga kilometeri dari muzium tersebut menemui beberapa barangan antik disyaki dicuri suspek seperti wang syiling, seterika dan kamera antik.

“Soal siasat mendapati suspek mengaku mencuri barangan itu di muzium tersebut sejak tiga minggu lalu dan dia belum menjualnya kerana tidak menemui pembeli lagi.

“Suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau sebanyak 10 kes melibatkan pelbagai jenayah termasuk kes gaduh serta mencuri dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya – sinar