MANJUNG: Taktik licik sepasang ‘suami isteri’ menggunakan kad pengenalan palsu untuk bekerja di Malaysia akhirnya terbongkar apabila seorang guru mengesyaki kesahihan sijil kelahiran anak mereka.

Pemangku Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak, Kamarul Idzham Kamal berkata muslihat pasangan itu dikesan apabila guru kepada anak mereka mengesyaki sesuatu yang tidak kena pada sijil kelahirannya.

Menurutnya, guru berkenaan berasa syak kerana sijil kelahiran itu kelihatan agak pudar warnanya, dibuat menggunakan pengimbas dan tidak seperti salinan asal.

“Berikutan itu, dia meminta Pengetua menghubungi JPN bagi menyiasat latar belakang ibu bapa murid berkenaan dan menyemak dokumen pengenalan mereka.

“Pegawai JPN yang pergi ke dua buah rumah berasingan di Seri Manjung dan Venice untuk bertemu pasangan ‘suami isteri’ kemudiannya mendapati kad pengenalan mereka palsu,” katanya ketika dihubungi Suara Perak.

Menurutnya, kedua-dua mereka adalah warga Filipina dikenali sebagai Alkima Muammil, 32, dari Zamboanga City manakala lelaki berkenaan dikenali sebagai Jabar Jojali, 38, dari Mindanao.

Kata Kamarul, kedua-dua mereka telah memperdaya pihak berkuasa dengan menggunakan kad pengenalan palsu dan menetap di Malaysia lebih daripada empat tahun.

Tambahnya, lelaki tersebut pernah bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan terkemuka di Segari tetapi telah berhenti kerja dan bekerja sebagai nelayan manakala wanita itu pula seorang surirumah.

“Apa yang lebih menarik, mereka sebenarnya bukan suami isteri dan tinggal berasingan tetapi sanggup untuk mengakui perkara berkenaan untuk mengaburi penipuan mereka di Malaysia,” ujarnya.

Jelasnya, pemeriksaan itu dijalankan empat pegawai Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan JPN Perak serta tiga pegawai dari JPN cawangan Manjung.

Kamarul berkata, kedua-dua yang ditahan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Sabtu bagi mendapatkan perintah tahanan reman selama 3 hari sehingga Isnin.

“Pasangan yang ditahan kini akan disiasat di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana menggunakan Kad Pengenalan palsu sebagai pengenalan diri yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih 3 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” ujar beliau.