KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengusulkan kepada kerajaan agar golongan bapa diberi cuti paterniti 30 hari berbanding tujuh hari sekarang.

Menterinya, Datuk Azizah Mohd. Dun berkata, langkah itu bagi membolehkan golongan bapa memainkan peranan yang lebih besar termasuk membantu tugas isteri di rumah selain merapatkan ikatan kekeluargaan.

“Kebanyakan bapa sekarang terutama bapa muda mahu bersama-sama menjaga anak mereka dari awal bagi mengukuhkan lagi hubungan kekeluargaan. Hubungan yang kuat dapat membuatkan anak-anak merasa selamat kerana mereka mempunyai tempat untuk mengadu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pameran Foto ‘Swedish Dads and Malaysian Dads’ di sini hari ini.

Azizah juga berkata, ibu bapa di negara ini boleh belajar daripada sistem kekeluargaan di Sweden yang mengetengahkan peranan bapa dalam sesebuah keluarga, khususnya pada aspek mendidik anak.

“Menerusi pameran ini kita dapat memberi kesedaran serta memperkasakan kaum wanita iaitu tanggungajawab menjaga anak tidak terletak pada kaum ibu sahaja dan bapa juga berperanan penting dalam mendidik anak mereka,” katanya. – Bernama