SUNGAI SIPUT –  Polis hari ini mengesahkan bahawa Jalan Besar Sungai Siput Utara selamat untuk digunakan sebagai laluan alternatif oleh pengguna jalan raya untuk ke Ipoh bagi mengelak kesesakan di lebuhraya Utara Selatan sepanjang musim perayaan ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sungai Siput, DSP A. Pamnaswaran berkata, pengguna lebuh raya dari arah Selatan yang ingin mengelakkan kesesakan rata-ratanya memilih laluan ini bagi melancarkan perjalanan mereka.

Menurutnya, polis sentiasa meletakkan anggotanya di sepanjang laluan ini kerana sudah menjangkakan akan menjadi laluan pilihan sepanjang cuti musim perayaan ini.

Katanya lokasi anggota polis ditempatkan sepanjang 35 kilometer bermula dari Kanthan, Chemor di bahagian selatan manakala di bahagian utara pula ialah di jambatan Kuala Kangsar, Karai.

0819edd3-e3a8-4477-b169-6b0b84be9117

“Kebiasaannya saya lihat mereka gunakan laluan ini sebagai jalan utama. Laluan di lebuhraya sudah semestinya sesak dan memang ramai pemandu menggunakan jalan alternatif ini bagi melancarkan perjalanan mereka,” katanya.

Katanya lagi, kadar kemalangan di laluan alternatif ini juga lebih rendah dan mencatatkan penurunan semenjak tahun 2016 dan 2017.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan risalah kempen keselamatan jalan raya dan borang maklumat balik kampung kepada pengguna jalan raya, di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Siput (U), di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, ASP Shahidan Mensor.

Sementara itu, katanya risalah yang diedarkan sempena Ops tahun Baru Cina itu, menerangkan mengenai kaedah pencegahan jenayah serta borang untuk penduduk memaklumkan kepada pihak polis bahawa mereka berada di luar kawasan pada tarikh tertentu.

“Pihak polis akan mengadakan rondaan di kawasan perumahan berkenan bagi mengelakkan sebarang kejadian jenayah seperti kes pecah rumah sepanjang ketiadaan mereka,” tambahnya.

Jelasnya, hasil tindakan proaktif berkenaan, secara puratanya sebanyak 20 hingga 30 borang maklumat balik kampung diterima dan dengan cara ini dapat mengurangkan kadar jenayah di kawasan komuniti setempat.