IPOH– Kerajaan negeri akan mengumumkan Cuti Khas Peristiwa pada 29 Oktober ini (Isnin) jika pasukan bola sepak Perak berjaya merangkul Piala Malaysia dalam perlawanan akhir menentang pasukan Terengganu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan, Howard Lee, kerajaan negeri juga akan memberi ganjaran dan insentif kepada semua pemain termasuk pegawai yang terlibat.

“Perkara ini telah diputuskan dalam perbincangan bersama YAB Menteri Besar Perak selaras dengan Akta Hari Kelepasan Am 1951, yang turut diumumkan oleh pihak kerajaan negeri Terengganu.

“Ini merupakan detik bersejarah arena bola sepak Perak dan penghargaan kerajaan negeri kepada rakyat yang memberikan sokongan padu sehingga Perak mara ke final Piala Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Ujar Howard lagi, ganjaran dan insentif tersebut akan diumumkan selepas Perak menjulang trofi Piala Malaysia, selain memberi suntikan semangat buat para pemain.