IPOH: Syarikat pembinaan daripada negara China, China Huashi Enterprises Company Limited (Malaysia) dilantik sebagai kontraktor fasa kedua Rumah Mampu Milik D Aman Residensi di Meru Raya, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid berkata, pelantikan itu diyakini akan memberi pelbagai impak positif kepada negeri.

Menurut beliau, pelantikan syarikat pembinaan gergasi dari China yang pertama di negeri ini dalam sektor pembinaan rumah mampu milik itu, secara tidak langsung akan memberi suntikan keyakinan kepada pelabur-pelabur dalam dan luar negara.

“Perak mencatatkan pertumbuhan ekonomi negeri tertinggi di negara ini iaitu dengan 5.6 peratus pada tahun 2015 dan antara penyumbang terbesar ialah sektor pembinaan.

“Justeru itu, penglibatan syarikat gergasi ini secara tidak langsung akan memberi keyakinan kepada pelabur-pelabur lain untuk melabur di negeri ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis menandatangani perjanjian antara China Huashi Enterprises Company Limited (Malaysia) dan Bintang Wirajaya Sdn Bhd iaitu pihak “kontraktor turnkey” bagi projek D Aman Residensi, di sini pada Isnin.

Turut hadir Pengarah Urusan D Aman Residences Sdn Bhd, Datuk Azizul Kama Abd Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif D Aman Residences Sdn Bhd, Ong Teng Boon dan Pengurus Besar Kumpulan Huashi China, Wan Xiao Lin.

Zahir berkata, kerjasama strategik itu juga dilihat mampu menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan keseluruhan bandar Meru Raya, di samping membantu merealisasikan komitmen kerajaan negeri untuk membina rumah mampu milik.

“Ini menunjukkan komitmen kita dalam menyediakan 10,000 rumah mampu milik yang merupakan manifesto PRU lalu.

“Kita amat mengal-alukan MOU ini memandangkan ekonomi kita yang mencabar ketika ini, kita amat perlukan suntikan fisikal untuk rancakkan ekonomi,” jelas beliau.

Sementara itu, Azizul Kama berkata, MOU itu akan memberi keyakinan yang lebih kepada pembeli terhadap projek perumahan tersebut.

“Perspektif kita sebagai pemaju, langkah ini akan memberi keyakinan kepada pembeli selepas mereka tahu kita membawa syarikat pembinaan gergasi untuk menguruskan projek.
“Kita telah pun memulakan fasa satu iaitu aparment lima tingkat, kita akan tengok pula projek yang dijalankan oleh syarikat ini, sudah tentu orang ramai akan melihat perbezaannya,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya yakin syarikat gergasi itu akan membawa teknologi baharu dari China ke tapak projek berkenaan bagi memastikan kerja pembinaan dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Azizul Kama memberitahu pembangunan fasa kedua itu merangkumi apartment 15 tingkat di tanah seluas 24.36 ekar di tengah-tengah bandar Meru Raya, Ipoh.

“Fasa pertama di mana melibatkan pembinaan apartment lima tingat yang telah pun habis dijual dan kini dalam pembinaannya.

“Fasa kedua ini pula melibatkan apartment 15 tingkat yang mempunyai keluasan lantai 980 kaki persegi dengan tiga bilik tidur serta dua bilik mandi,” jelas beliau.

Tambahnya 480 unit apartment mampu milik itu juga akan menyediakan kemudahan-kemudahan bersama seperti surau, dewan serbaguna, komuniti berpagar dan berpengawal.

“Dengan modal pelaburan serendah RM140,000, pembeli dapat memiliki apartmen D Aman Reidensi ini yang terletak hanyak 150 meter dari Taman Tema Animasi Antarabangsa (MAPS).

“Ini matlamat kita iaitu untuk melihat masyarakat menikmati hidup berkualiti dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan yang lebih sejahtera,” ujar beliau.

Kumpulan China Huashi Enterprise Company Limited telah ditubuhkan pada tahun 1982 dan mempunyai pengalaman di dalam bidang pembinaan selama 34 tahun dengan telah kejayaan menyiapkan 2,000 projek.