Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Saban tahun di bulan Ramadan, D Polo Kafe pasti menjadi tumpuan warga Ipoh untuk berbuka puasa kerana harga yang ditawarkan sangat berpatutan dengan pelbagai variasi makanan yang lazat.

Pemilik D Polo Kafe dan Katering, Roslan Zainal Abidin berkata, sejak pembukaannya pada 2011, bufet Ramadan yang disediakannya terus mendapat sambutan baik saripada warga Ipoh.

Beliau mengakui, dengan keadaan ekonomi kurang baik, ramai yang risau tidak dapat mencari makanan kegemaran ala kampung dengan harga mampu bayar.

“Ini adalah antara keutamaan kami, iaitu menjanjikan harga murah dengan hidangan mengikut selera Nusantara di samping memastikan masyarakat dari pelbagai latar belakang dapat berkumpul bersama-sama,” katanya ketika ditemui Suara Perak.

Menurutnya, D Polo boleh menampung sehingga 800 pelanggan pada satu-satu masa dan itulah antara sebab ia menjadi tumpuan rombongan pelajar, jabatan dan agensi atau perkumpulan reunion di sekitar Ipoh.

Katanya, antara kira-kira 40 jenis makanan, yang sering menarik perhatian orang ramai adalah Laksa, Gulai Kawah, Kari Daging, kambing bakar dan banyak lagi hidangan pencuci mulut dan aneka jenis minuman.

“Terima kasih kepada warga Ipoh, dan semua yang menyokong perniagaan keluarga kami di D Polo, tanpa anda pasti kafe ini tidak akan berjaya,” ujarnya.

Sementara itu, beberapa pelanggan yang ditemui mengakui, makan di D Polo amat berbaloi berbanding dengan dengan hotel-hotel mewah.

Nurbaya Jobshi, 59, berkata, dia memilih D Polo kerana makanannya jauh lebih lazat daripada hidangan biasa di hotel yang mengenakan caj tidak berpatutan buat warga Ipoh.

“Makan dua orang, tapi kena bayar sampai lebih RM100 sedangkan pilihan lauk ala kadar sahaja, tetapi di sini, kami dapat menyaksikan persembahan buskers, memilih pelbagai hidangan, selesa dengan keadaan persekitaran yang selesa dan kenyang dengan hanya RM25 seorang, lebih daripada berbaloi,” katanya.

Penjawat awam. Saidu Kenchi Mohamad pula berkata, kelebihan utama D Polo adalah suasana kondusif yang memberikan kemudahan lengkap buat umat Islam di Ipoh.

“Saya sendiri memilih kafe ini untuk membawa keluarga saya kerana ianya dilengkapi surau dan ruang parkir yang cukup, pencahayaan sesuai dan yang paling penting, mereka memikirkan kemampuan warga Ipoh,” tambahnya.