BAGAN SERAI – Polis berjaya menemui 223 paket pelbagai jenis dadah bernilai RM15,000 di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Simpang Empat Semanggol, Selinsing awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, ketika serbuan pada jam 3 pagi, seorang lelaki berusia 30an ditahan di dalam bilik tidur rumah terbabit sebelum polis menemui sebungkus plastik hitam di atas tilam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas bungkusan plastik itu berjaya menemukan 200 paket kecil lut sinar, dipercayai dadah jenis heroin.

“Selain itu, polis turut menemukan 16 lagi peket lutsinar kecil dadah jenis heroin, empat paket ganja dan tiga paket syabu di dalam satu bekas tin tidak berpenutup di atas tilam berkenaan.

“Kesemua dadah dirampas seberat 295.95 gram bernilai pasaran RM15,000 dan suspek ditahan kini direman selama seminggu bermula 13 September hingga 19 September ini.

“Suspek juga mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes dadah dan merupakan seorang penagih tegar dan tokan di kawasan terbabit,” katanya pada sidang media di bilik mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kerian, hari ini.

-SinarHarian