KAMPAR – Polis berjaya menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah apabila menahan empat lelaki bersama 702.6 Kg dadah pelbagai jenis bernilai RM35 juta, kelmarin.

Serbuan kira-kira jam 7.45 malam itu dijalankan hasil risikan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, serbuan pertama merupakan premis kilang di kawasan Perindustrian Gopeng yang dijadikan stor simpanan dadah.

“Serbuan itu menemui 676 Kg Syabu dan menahan empat suspek yang berusia 26 hingga 39 tahun.
“Tangkapan itu membawa penemuan kedua, sebuah makmal memproses dadah di sebuah pangsapuri di Taman Kolej Perdana, Kampar,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar, hari ini.
Menurutnya, polis menemui pelbagai peralatan memproses dadah termasuk 187Kg serbuk dan cecair kimia.

“Hasil pemeriksaan menemui 20.4Kg heroin, 2.6Kg syabu dan 3.6Kg bahan ‘heroin base’ serta 4,000 pil eramin 5.
“Tiga kenderaan iaitu Perodua Myvi, Kia Cerato dan Nissan Navara di sita termasuk pelbagai barang kemas,” katanya.

Mohmad berkata, siasatan awal mendapati sindiket yang baharu aktif sebulan lalu menjalankan pengedaran untuk pasaran tempatan dan antarabangsa (negara jiran).
“Polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan ahli sindiket lain. Keseluruhan dadah yang dirampas boleh membekalkan kepada lebih 3.5 juta penagih.

“Ujian urin mendapati kesemua suspek negatif dadah namun, dua daripadanya mempunyai rekod bersabit dadah,” katanya.
Katanya, kesemua tangkapan direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 – sinar