NILAI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan kegiatan penyeludupan dadah apabila merampas 42 kilogram methamphethamine bernilai RM2.3 juta di stor penyimpanan di Subang Jaya, Selangor, Isnin lalu.

Tujuh lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan berusia 28 hingga 40 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Zulkifli Yahya, berkata serbuan dilakukan selepas pihaknya mengesan sebuah kontena baru tiba dari Pelabuhan Chennai, India di Pelabuhan Klang, yang diikrarkan membawa garam, dalam keadaan mencurigakan.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ketika serbuan jam 8 malam, tujuh lelaki warga Bangladesh sedang memunggah 400 guni garam dari kontena ke dalam stor berkenaan.

Pemeriksaan mendapati 380 guni mengandungi garam, manakala 20 guni lagi berisi dadah. Kesemua 20 guni berisi dadah itu diletakkan kod bar.

“Setiap satu guni diletakkan bekas, dibalut dengan plastik lutsinar dan disorok bersama-sama garam,” katanya pada sidang media di pejabat Cawangan Narkotik JKDM di Kampung Jijan Tengah, di sini, hari ini.

Semua suspek direman tujuh hari sehingga Isnin ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Empat daripada tujuh suspek warga asing sudah tamat tempoh permit kerja, dua tiada permit manakala seorang lagi permit kerja masih sah.

Beliau berkata, siasatan mendapati penyeludupan itu pertama kali dijalankan oleh sebuah syarikat di negara ini dengan menggunakan modus operandi menyembunyikan dadah dalam guni garam.

“Siasatan juga mendapati pemilik syarikat itu sudah meninggal dunia dan disalahguna pihak berkepentingan untuk mengedar dadah,” katanya – berita harian