PARIT – Empat termasuk sepasang suami isteri dipercayai terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah ditahan di dua lokasi berasingan di Seri Iskandar dalam Op Tapis di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua individu berumur 25 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Perak Tengah.

Katanya, pasangan suami isteri yang bekerja sebagai pembantu di sebuah pusat snuker dan terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah sejak awal tahun ditahan di sebuah rumah di Persiaran Iskandar Perdana 3 kira-kira pukul 10 pagi.

Menurutnya pemeriksaan di rumah itu menemukan satu beg yang mempunyai satu paket plastik berwarna biru disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 52 gram.

“Kita turut menemukan satu foil aluminium berisi dua butir pil disyaki Eramin 5 seberat 0.62 gram dan ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam serbuan kedua, Mohamad Zainal berkata dua wanita peniaga sambal ditahan di sebuah rumah di Taman Maju kira-kira pukul 12 tengah hari tadi dan sepeket plastik lutsinar dipercayai methamphetamine dengan anggaran berat 5.26 gram ditemukan.

“Turut ditemui satu balang kaca yang diubah suai untuk menghisap dadah selain satu pemetik api dan ujian air kencing mendapati dua wanita berkenaan positif methamphetamine,” katanya sambil menambah semua tangkapan disiasatan mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama