KUALA KURAU: Pembinaan sebuah Maktab Rendah Sains Mara dan Sekolah Berasrama Penuh ( SBP) dilihat sebagai langkah rasional dalam memenuhi kehendak akademik yang semakin progresif di sekitar daerah Kerian.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, ianya selaras dengan pencapaian daerah itu yang memegang rekod cemerlang SPM selama tiga tahun berturut-turut.

Katanya, sebelum ini, daerah tersebut mengulangi pencapaian keputusan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) terbaik di Perak dengan Gred Purata Sekolah(GPS) 4.92, mengatasi GPS negeri Perak(5.22) dan kebangsaan(5.19), menjadikannya antara yang terbaik di seluruh negara.

“Dengan pencapaian sebegini, adalah menjadi satu kewajaran sekiranya terdapat permintaan daripada ibubapa atau pelajar untuk meminta sebuah MRSM atau SBP dibina di sini, dan saya membuka cadangan itu kepada para wakil rakyat di sini.

“Ianya bersesuaian dengan konsep sebuah MRSM atau SBP untuk satu parlimen, jadi saya harap sekiranya ada permintaan tersebut maka kemukakan kepada saya melalui saluran yang betul dan saya akan mempertimbangkannya untuk dibawa ke pihak atasan,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah melakukan lawatan ke lima buah sekolah di sekitar Kuala Kurau antaranya seperti SJK ( T ) Kuala Kurau, SJK ( C) Yun Chai sempena Program Pemukiman Daerah Kerian pada Jumaat.

Katanya, Kerian merupakan bukti terbaik dan contoh kepada sekolah di seluruh negeri Perak yang berjaya memegang rekod pencapaian SPM terbaik selama tiga tahun walaupun berada agak jauh dari pembangunan utama Perak.

Dr Muhammad Amin berkata, pendekatan pendidikan Kerian itu sewajarnya diteruskan kerana bangunan dan infrastruktur meskipun menjadi asas kepada system pembelajaran, namun ia bukanlah penentu kecemerlangan semata-mata.

“ Saya amat berbangga kerana Kerian telah menunjukkan bahawa mereka mampu mengorak kejayaan dan tidak menjadikan lokasi atau bangunan sebagai alasan untuk memberikan keputusan terbaik.

“Malah, ia berjaya dicapai secara berterusan hasil kerjasama erat di antara ibubapa, guru-guru dan pelajar yang kebanyakannya dihuni oleh petani dan nelayan ini, tanpa memberi alasan bahawa mereka  tidak mempunyai SBP mahupun sekolah berstatus Premier,” katanya lagi.