KUALA LUMPUR: Warga Pakistan dikesan menggunakan nama individu tempatan untuk mendaftar, sekali gus memonopoli perniagaan di sekitar ibu kota dengan menawarkan pelbagai produk tiruan, termasuk dari negara mereka.

Produk tiruan berkenaan dipercayai merangkumi minyak wangi, beg tangan wanita, dompet, tali pinggang, kasut, baju, jam tangan dan pakaian menggunakan jenama antarabangsa terkenal.

Kegiatan mereka itu dibongkar penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur melalui Ops Barang Tiruan, semalam.

Timbalan Ketua Pegawai Penguat Kuasa negeri, Mohd Shahran Mohd Arshad, berkata hasil serbuan di tiga premis, sebanyak 1,489 botol minyak wangi tiruan menggunakan jenama Chanel, Chance dan Chamele bernilai kira-kira RM19,000, berjaya dirampas.

Beliau berkata, kesemua produk tiruan itu dibungkus menyamai yang tulen dan dijual pada harga antara RM100 hingga RM200 seunit mengikut saiz botol.

“Kita menjalankan serbuan bersama wakil jenama berkenaan yang mengesan kegiatan tiga premis terbabit menjual produk tiruan menggunakan jenama mereka.

“Dalam operasi itu, tiga pasukan dibentuk membabitkan kekuatan sembilan penguat kuasa KPDNKK Kuala Lumpur yang bertindak menyerbu premis berkenaan secara serentak,” katanya ketika dihubungi, pagi tadi.

Mohd Shahran berkata, kesemua barangan tiruan itu dirampas mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

Katanya, hasil siasatan awal juga mendapati premis terbabit disewa warga Pakistan berkenaan yang menjalankan perniagaan menggunakan lesen individu tempatan.

Difahamkan, warga Pakistan terbabit membayar sejumlah wang kepada individu tempatan atas persetujuan menggunakan nama mereka untuk pendaftaran lesen perniagaan.

“Mereka juga lazimnya akan memaklumkan konon hanya bekerja di premis berkenaan dan tidak tahu-menahu mengenai produk tiruan dijual.

“Bagaimanapun, hasil risikan mendapati mereka adalah penyewa premis dan memang terdapat barangan tiruan berkenaan dibawa masuk dari Pakistan, selain negara lain seperti China, India dan Vietnam,” katanya – berita harian