IPOH: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mencadangkan pihak yang ingin membuka pusat tahfiz supaya mendaftar dengan pihak yang berkenaan.

Seperti sekolah-sekolah biasa, pusat tahfiz juga perlu mengikut prosedur yang betul dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Menurut beliau, perkara itu perlu bagi memastikan premis yang digunakan sesuai dan selamat.

“Setiap orang yang hendak buat sekolah-sekolah tahfiz atau membangunkan institusi persekolahan, mestilah minta kebenaran dan didaftarkan.

“Pendaftaran itu mestilah diperiksa premisnya dari keselamatan dan sebagainya. Itu kena buat, seperti juga kita buat sekolah biasa. Kena ikut prosedur betul-betul, syarak pun suruh buat begitu,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak kali ke 200 di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, Kuala Lumpur, minggu lalu, yang mengorbankan 21 pelajar dan dua guru.

Harussani mengakui bahawa kekangan kewangan adalah antara punca utama mengapa banyak pusat tahfiz swasta gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam supaya bersama-sama membantu pusat-pusat tahfiz seumpama itu kerana menutupnya bukanlah jalan penyelesaian terbaik.

“Kita tak boleh suruh tutup, kita boleh minta pandangan dari segi keselamatan, umpamanya minta pandangan bomba dan polis, macamana nak buat, tetapi nak suruh tutup, tak betullah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut berharap semua pihak berhenti mempersendakan kematian anak-anak tahfiz itu, sebaliknya mendoakan roh mereka.