JIKA benar kematian Kim Jong-nam iaitu abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) semalam, dibunuh, ia adalah pembunuhan berprofil paling tinggi oleh rejim Korea Utara.

Dan, ia juga bukan kali pertama kerana Jong-nam sudah beberapa kali terselamat daripada cubaan bunuh oleh ejen Korea Utara.

Laporan menyatakan Jong-nam dipercayai dibunuh dua ejen wanita tidak dikenali menggunakan jarum beracun di klia2.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan malam tadi berkata, berdasarkan dokumen perjalanan, lelaki yang dibunuh itu menggunakan nama Kim Chol berusia 46 tahun dan berasal dari Pyongyang, Korea Utara.

Siapa Kim Jong-Nam?

Kim Jong-nam pernah dianggap pengganti Kim Jong-il, namun diketepikan selepas ditahan di Lapangan Terbang Narita, Tokyo, pada 2001 kerana cuba memasuki Jepun menggunakan pasport palsu Republik Dominican.

Beliau memberitahu mahu melawat Disneyland bersama keluarganya.

Menurut Telegraph, Kejadian itu menyebabkan beliau diusir bapanya dan tinggal dalam buangan di Macau sehingga Kim Jong-il meninggal dunia pada 2011. Sejak itu Jong-nam menyembunyikan diri, bimbangkan adik tirinya akan menganggap beliau sebagai ancaman sebagai pewaris rejim.

Namun menurut laporan akhbar Korea Selatan, Chosun Ilbo, Jong-nam pernah bekerja dengan Kementerian Luar, termasuk menyelesaikan pertelimgkahan dengan Jepun – tugas yang diberi sendiri oleh adik tirinya.

Tindakan Jong-un memanggil abang tirinya pulang ke Pyongyang itu dianggap penganalisis sebagai jaminan keselamatan agar Jong-nam boleh diawasi sepanjang masa.

“Jong-un memanggil Jong-nam balik ke Pyongyang dan memberinya tugas kerana dia sendiri masih belum kukuh dan bimbang ada pihak mungkin menyokong abang tirinya supaya menuntut ‘takhta’,” kata Profesor di Universiti Waseda, Tokyo, Toshimitsu Shigemura kepada Telegraph pada 2015.

Menurutnya, China juga bekemungkinan menyokong Jong-nam sebagai pemimpin pilihan.

Kenapa Kim Jong-nam dibunuh?

Jika kematian Kim Jong-nam dibunuh atas arahan adik tirinya ia bukan kejadian pertama kali.

Pada 2015, Daily Mail melaporkan pengintip Korea Utara cuba membunuh Jong-nam di Macau pada 2011.

Tembak menembak berlaku dengan pengawal peribadi Jong-nam namun beliau berjaya menyelamatkan diri.

Dalam temuramah pada 2010, Jong-nam berkata, dia tidak berhasrat menuntut jawatan pemimpin Korea Utara daripada adik tirinya.

“Saya berharap adik saya akan melakukan yang terbaik untuk kepentingan rakyat Korea Utara,” katanya kepada stesen televisyen Jepun, Asahi.

Berapa banyak arahan bunuh oleh Kim Jong-un?

Tiada statistik tepat pernah diumumkan mengenai jumlah rakyat Korea Utara dihukum bunuh namun laporan Institut Keselamatan Negara Korea Selatan pada 2016 mendakwa Jong-un mengarahkan sehingga 340 pembunuhan sejak mula berkuasa pada Disember 2011.

Kesedian rejim Korea Utara untuk membunuh siapa saja yang dianggap tidak setia ditunjukkan melalui saiz kubur besar yang ditemui melalui imej satelit tahun lalu.

Cara pembunuhan pula pelbagai dengan sesetengahnya amat kejam, bergantung kepada tahap kebencian Jong-un – paling ringan ditembak dengan satu peluru atau cara lain, termasuk ditembak dengan meriam anti-pesawat.

Ada yang dibakar menggunakan penyembur api atau diletupkan dengan peluru mortar.

Antara pegawai kanan regim yang dihukum bunuh ialah bapa saudara diktator itu, Jang Song-thaek yang dibunuh pada 2013 selepas didapati bersalah melakukan jenayah terhadap negara, termasuk mencemarkan parti dan ‘mengimpikan impian berbeza’.

“Kim Jong-un dan ejennya sudah beberapa kali cuba meracun Jong-nam,” kata Jihyun Park, rakyat Korea Utara yang berpaling tadah dan kini tinggal di Manchester.

-myMetro