SUNGAI SIPUT: Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu mengingatkan pemimpin dan ahli Pakatan Harapan (PH) supaya tidak mengejar jawatan semata-mata sebaliknya perlu sentiasa berpegang kepada wadah asal perjuangan iaitu membela nasib serta menyelesaikan permasalah rakyat.

Menurutnya selepas berjaya membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri, PH dan parti komponennya tidak seharusnya tergelincir daripada perjuangan asalnya iaitu melawan kemungkaran dan ketirisan politik.

Beliau berkata setiap pemimpin perlu meletakkan keutamaan mereka iaitu berkhidmat untuk rakyat dan bukan berbalah kerana jawatan.

“Kita menang PRU yang lepas di peringkat negeri dan persekutuan tetapi kita mempunyai masalah di mana rakan-rakan sesama kita berkecamuk. Walaupun taklah teruk sangat, berbeza pandangan tentang siapa yang sepatutnya menjadi ketua kampung atau ahli majlis seharusnya tidak terjadi.

“(Saya nak ingatkan), kenapa kita nak masuk menjadi ahli Bersatu (contohnya), adakah kerana kita sekadar nak jadi ahli Majlis atau nak teruskan perjuangan?

“Kita sepatutnya nak lawan kemungkaran, adakah apabila tiba-tiba kita ada kuasa kita nak mengejar jawatan?,”katanya kepada pemberita dalam ucapannya sempena Majlis Rumah Terbuka PPBM Sungai Siput, di sini hari ini.

Ahmad Faizal berkata beliau bukanlah seorang yang sempurna namun akan bersikap terbuka kepada sebarang cadangan senarai nama yang dikemukakan berhubung penjawatan tertentu di peringkat majlis dan ketua kampung.

Katanya, proses perlantikan tersebut akan dijalankan dengan mengambil inspirasi daripada penyusunan kerusi serta pemilihan calon yang diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan pada PRU lepas.

“Kita telah berjaya membina kerajaan ini, saya rasa usahlah kita bergaduh lagi mengenai pemilihan calon jawatan,…kalau ada cadangan ketua kampung baik dari peringkat kepimpinan cawangan dan bahagian, tentunya saya bersedia mendengar”ujarnya lagi.

1/5