Kuala Lumpur: Golongan gay disaran supaya tidak mengikut nafsu semata-mata dan kembali ke fitrah asal kerana menyukai hubungan songsang menyimpang dengan norma kehidupan manusia.

Pakar psikologi Universiti Malaya Prof Madya Dr Mohd Awang Idris berkata, agak sukar untuk mengesan atau mengenal pasti kecenderungan seorang kanak-kanak lelaki yang menyukai kaum sama.

“Bukan saja kita sukar nak kesan sejak kecil, sudah dewasa pun sukar nak tahu melainkan jika ditangkap dalam sesuatu pesta kerana mereka pandai menyembunyikan diri.

“Jangan terlampau mengikut nafsu dan kehendak diri, mereka kena lawan desakan naluri yang begitu menyukai lelaki.

“Malah, cara berkesan untuk bendung gejala ini, saya rasa jalan terakhir kerajaan perlu membuat khidmat nasihat di televisyen untuk mereka. Cara lembut seperti nasihat dan ajak mendengar ceramah di masjid sudah tidak jalan, ini saja jalan terakhir untuk menyedarkan mereka,” katanya.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada April 1982 sudah memutuskan bahawa seseorang yang dilahirkan lelaki perlu berkelakuan lelaki dan jika sebaliknya adalah haram.

“Islam sudah menetapkan bahawa lelaki hendaklah menjadi lelaki begitu juga dengan perempuan yang mengikut sunnatullah yang ditetapkan.

“Keputusan muzakarah itu juga sejajar dengan hadis Riwayat Abu Daud yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW melaknat orang lelaki yang memakai pakaian perempuan dan perempuan yang memakai pakaian lelaki,” katanya – hmetro