OPERASI mencari dan menyelamat seorang lelaki yang jatuh di Sungai Changileh berhampiran Kampung Kamunting Lama, Jitra sejak semalam diperluaskan sehingga lima kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan jatuh.

Mangsa, Mohamad Amir Othman, 32, dipercayai terjatuh ke dalam sungai itu sekitar 7 pagi semalam selepas motosikal ditunggangnya terbabas ketika pulang dari tempat kerjanya.

Bagaimanapun usaha mencarinya yang dilakukan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sejak semalam gagal menemui mangsa.

Ketua BBP Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, operasi ditangguh 7 malam tadi disambung 8 pagi dengan jumlah keanggotaan bomba seramai 21 orang termasuk dari Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Jitra dan Sungai Petani.

Beliau berkata, operasi turut dibantu anggota APM Kubang Pasu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), RELA dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sebelum ini operasi hanya dilakukan di sekitar mangsa dilaporkan jatuh, namun diperluaskan hari ini selain selaman dilakukan anggota bomba dan APM.

“Setakat ini belum ada sebarang petunjuk untuk penemuan mangsa, namun kita hanya menemui topi keledar dan sebelah kasut mangsa di tempat kejadian.

“Operasi masih diteruskan dengan bantuan dua bot bomba dan sebuah bot APM untuk mencari mangsa sehingga dijumpai,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian hari ini.

Sementara itu, bapa mangsa, Othman Mohamad, 68, berkata, dia berserah kepada Allah SWT dan berharap jasad anak bongsu daripada empat beradik itu ditemui segera.

Katanya, dia bersama jemaah surau turut melakukan solat hajat dan majlis bacaan Yasin untuk memudahkan pencarian pasukan penyelamat supaya jasad anaknya ditemui.

“Dia baru bekerja di tempat baru di sebuah kilang berhampiran Tunjang sebagai pengawal keselamatan dua minggu lalu selepas berhenti kerja di Bandar Darulaman.

“Kali terakhir saya jumpa dia malam kelmarin sewaktu dia bersiap untuk bekerja syif malam pada 8 malam dan dia sempat memasak bihun untuk bekalan ke tempat kerja.

“Sebaik dimaklumkan dia jatuh sungai, saya dan isteri serta ahli keluarga berada di tempat kejadian untuk menunggu laporan daripada pasukan penyelamat sehingga jasad anak ditemui,” katanya.

Othman berkata, Mohamad Amir yang juga duda dan mempunyai seorang anak lelaki berusia enam tahun itu tinggal bersama mereka di Kampung Kepala Batu, Wang Tepus manakala anaknya tinggal bersama bekas isterinya – Hmetro