BERUAS: Penduduk Kampung Padang Serai yang merupakan mangsa banjir sekitar dekat sini menzahirkan rasa kecewa kerana terpaksa mengharungi hidup berpindah randah setiap hujung tahun menjelma.

Menurut mereka aktiviti dipindahkan ke pusat penempatan sementara seolah-olah telah menjadi acara tahunan buat penduduk di situ sejak empat tahun lalu.

Lebih mendukacitakan, mereka tidak berpeluang langsung membawa anak-anak bercuti sempena cuti sekolah hujung tahun kerana terpaksa mendahulukan masalah rumah yang dinaikki air.

Mereka menyalahkan pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) kerana tidak menjalankan kerja-kerja mendalamkan Sungai Beruas yang semakin cetek sejak empat tahun lalu.

JPS dikatakan masih menggunakan mesin pengepam untuk mengepam air banjir yang bertakung keluar dari parit besar ke Sungai Beruas sehingga menyebabkan air melimpah semula masuk ke kawasan kampung.

Seorang penduduk, Mariani Abdul Rani, 48, berkata, langkah pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengepam air keluar dari parit besar ke Sungai Beruas tidak memberi sebarang kesan kerana Sungai Beruas tidak lagi dapat menampung lebihan air.

Menurutnya banjir kilat ini hanya boleh ditanggani sekiranya usaha mendalamkan sungai dilaksanakan.

“Banjir kilat ini macam tak pernah selesai…ia dah jadi acara tahunan buat kami.

“Puncanya Sungai Beruas yag semakin cetek tetapi tiada usaha diambil pihak berkenaan untuk mendalamkannya.

Saya juga berpendapat langkah pengepam air keluar sahaja tidak memberi sebarang kesan kerana air yang dipam keluar akan masuk semula ke dalam kawasan kampung kami,’’ ujarnya.

Beliau turut kecewa kerana tidak berpeluang bercuti bersama keluarga seperti orang lain kerana terpaksa tinggal di pusat pemindahan manakala habis barangan rumahnya rosak akibat banjir kilat itu.

“Asal tiba hujung tahun sahaja di sinilah rumah kedua kami..jadi saya kalau boleh nak minta pihak berwajib tolonglah buat sesuatu janganlah jadikan kami ini macam acara tahunan tiap tiap tahun kami dipindah ke pusat pemindahan sehingga tidak berpeluang langsung berehat dan bercuti bersama keluarga,” katanya.

banjir-kampung-padang-serai-2
Seorang penduduk , Abdullah Osman, 53, pula berkata, beliau bukan sahaja kecewa malah bosan kerana terpaksa berpindah ke pusat pemindahan mangsa banjir pada setiap hujung tahun gara-gara banjir kilat ini berikutan tiada sebarang tindakan pihak berkenaan untuk mendalamkan Sungai Beruas yang semakin cetek itu.

“Tiap-tiap tahun banjir, habis tanaman nenas seluas seekar musnah ditenggelami air. Saya juga tidak dapat mengambil upah mengait sawit kerana semua kawasan tanaman dinaiki air,’’ katanya.

 

Sementara itu menurut Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Manjung, Zahril Yusof Salim, pihaknya sentiasa memantau keadaan banjir di kawasan Kampung Padang Serai selain membantu mangsa banjir yang memerlukan pertolongan.

“Tugas kami di sini memantau keadaan banjir di kawasan Kampung Padang Serai dan ada kalau ada penduduk yang perlu pindah boleh didaftarkan di Sekolah Agama Rakyat Padang Serai.

“Setakat ini seramai 71 mangsa banjir daripada 17 belas keluarga masih tinggal di pusat pemindahan ini dengan disediakan makanan dan minuman,” katanya.