TEMOH: Tujuh tahun membina kerjaya sebagai jurugambar di Kuala Lumpur menyebabkan Muhamad Zairol Zainal, 33, sama sekali tidak menduga dia akhirnya “terjun” ke dalam sektor penternakan.

Tanpa berselindung, bekas kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang kini dikenali sebagai usahawan ternakan ayam kampung di Batang Padang, mengakui berat hati apabila terpaksa meninggalkan kerjaya yang sangat diminatinya itu demi memenuhi permintaan bapanya.

c979d2d3-a30e-40ea-9dae-2c6f98e35540Menurut anak kelahiran Temoh, Kampar itu, pada peringkat permulaannya, dia meneruskan penternakan biri-biri milik bapanya sebelum beralih pada ayam kampung.

“Sebenarnya saya jadi bidan terjun sebagai penternak, dulu saya kerja lebih kurang macam (petugas) media di DBP.

“Pengkhususan saya dalam penerbitan majalah dan buku teks. Sejujurnya saya rasa ralat bila beralih bidang kerja disebabkan sudah selesa dengan kehidupan di sana (Kuala Lumpur),” kata Zairol kepada Suara Perak.

Dia ditemui ketika menjadi penceramah jemputan di Seminar Agropreneur Muda Ayam Kampung yang dihadiri oleh kira-kira 100 orang penternak di Dewan Temoh Stesen.

Bagaimanapun, ujarnya, minat untuk menternak semakin menebal setelah mengetahui selok belok dan menerima pulangan menerusi penternakan ayam kampung.

885f0fbd-334b-4c79-98a5-e18384430804

“Rajin dan tidak mudah patah semangat sangat penting dalam diri seorang penternak. Saya pun bermula dari bawah dan alhamdulillah, perniagaan semakin maju sekarang,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik itu.

Kandang ayam ternakannya di atas tanah berkeluasan dua ekar di Kampung Sungai Dadeh turut menjalankan penyembelihan dan pembersihan ayam sebelum dihantar kepada pembeli di sekitar Perak.

“Dulu memang saya hantar ayam sehingga ke Kuala Lumpur disebabkan masih mencari-cari pasaran terbaik dan pembeli, tapi sekarang tidak lagi kerana sudah ada pelanggan tetap di sebuah restoran di Sungkai,” katanya.

9b3ff674-f205-46ff-bab1-1027b0a817e3Lebih membanggakan, baru-baru ini Zairol dipilih menerima anugerah Penternak Jaya Bukan Ruminan di Mini Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) dan Agrofest Perak 2017 di Lumut.

Jika sebelum ini penternak muda ini mendapat benih ternakan dari Kedah, kini dia beralih arah menjalinkan kerjasama dengan pejabat Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Tapah untuk menghasilkan penetasan sendiri.

“Pejabat Veterinar Tapah mencadangkan supaya saya membuat penetasan sendiri. Oleh itu, saya akan memohon geran mesin penetasan benih dari JPV Perak,” katanya.