IPOH: “Prinsip yang saya pernah gunakan dalam misi ke angkasa lepas boleh diaplikasikan dalam pelaksanaan Pangkor Dialogue,” ujar angkasawan wanita terkemuka dari Amerika Syarikat, Dr. Catherine Coleman.

Menurut saintis kimia polimer yang mempunyai pengalaman lebih 25 tahun dengan Agensi Kebangsaan Pentadbiran Angkasa Lepas (NASA) itu, sesukar mana pun sesebuah misi itu, ia akan dapat diselesaikan jika wujud kesefahaman dan perbincangan menerusi kerja berpasukan.

“Apabila individu seperti saya dijemput hadir ke sini, pengalaman yang saya perolehi melalui misi penjelajahan ke angkasa lepas boleh menjadi panduan bagi menjayakan program seperti Pangkor Dialogue.

“Ia juga mengajar kita untuk mendahulukan misi, sama ada anda suka atau tidak dengan orang yang terlibat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis perasmian Pangkor Dialogue 2017 di Casuarina@Meru, di sini, hari ini.

Seperti mana misi ke angkasa lepas yang memerlukan perancangan teliti, kata Dr Coleman, penganjuran program itu turut memberikan manfaat kepada masyarakat khususnya.

“Jika kami (angkasawan) boleh bersama-sama berbincang mengenai jenis bantuan yang diperlukan dalam kumpulan, jadi anda juga boleh buat benda yang sama untuk memberi kefahaman kepada orang lain supaya mereka berjaya,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, mediaturut berperanan penting dalam menyampaikan mesej kepada dunia selain memberi kesedaran dalam aspek-aspek tertentu.

“Mungkin dahulu tidak ramai yang berminat untuk menjadi angkasawan namun setelah muncul filem-filem di media, termasuk tulisan oleh para wartawan, angka penyertaan yang mahu jadi angkasawan meningkat dengan mendadak,” katanya.