KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan mengapa kerajaan meminta Tun Daim Zainuddin berunding semula dengan China untuk projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan bukannya Lim Guan Eng.

Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu memilih seorang wakil yang boleh diterima negara lain, selain kebolehan tertentu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata, pemilihan Daim berdasarkan kelayakan dan keupayaannya untuk berunding dengan China.

“Kita pilih berdasarkan kemampuan kerana kadang-kadang apabila kita berunding, kita memerlukan seseorang yang boleh diterima oleh pihak lain.

“Kita juga mempunyai sekatan tertentu dalam memilih orang itu untuk menjadi perunding kita. Sebab itulah kita memilih orang lain (Daim), yang kami nilai sebagai orang yang mahir dan mampu berunding dengan China.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Ismail Mohamed Said (Kuala Krau-BN) yang bertanya mengapa Guan Eng tidak mengetuai rundingan semula projek ECRL dengan China.

Perjanjian dengan China akan dimuktamadkan dan bakal diumumkan tidak lama lagi. – MalaysiaGazette